Monday, 17 June 2013

Cerpen: Aku Mahu Bikin Tiramisu!!!

Assalamualaikum...
Cerpen yang Intan nukilkan..... moga ada sesuatu yang dapat dijadikan sebagai teladan...insyaAllah.
Dipersembahkan... Jeng!!Jeng!!Jeng!!!!! Njoy reading!!

Nukilan rasa: Intan Balqis Shahira (Sakura Merah)
Blow Kiss
Aku mahu bikin kek Tiramisu untuk ibu. Aku melihat kalendar di dinding, tarikh 5 Mei telah ku bulatkan dengan pen merah. Hanya tinggal seminggu lagi.
“Kak Maya, buat apa tu?” tanya adikku, Aisya.
“Kak Maya tengah fikir macam mana nak masak kek ni,” jelas ku sambil menunjukkan majalah Keluarga.
“Kenapa nak masak? Untuk siapa?” tanya Aisya bertalu-talu.
“Untuk hari jadi ibu, tapi Aisya jangan cakap dengan ibu dulu ya”.
Aisya mengangguk kepalanya tanda setuju.
Suatu petang di halaman rumah…..
Aku duduk di buaian sambil membelek majalah Keluarga keluaran bulan April. Majalah ini adalah majalah kegemaran ibu kerana ianya penuh dengan resepi masakan. Aku melihat resepi Kek Tiramisu Coklat.
“Hai…. Maya, apa yang dimenungkan tu? Kak Hani panggil banyak kali pun tak jawab-jawab,” tanya Farhani.
Aku tersipu-sipu malu. “Tak ada apa lah kak Hani. Maya tengok majalah ni,” jawab ku.
“Ermm…... kenapa? Tengok resepi, nak masak apa?,” tanya Farhani lagi.
Kak Farhani adalah jiranku. Dia sering membantuku membuat kerja-kerja sekolah. Dia seorang guru tadika. Jadi di sebelah petang, dia akan menemankanku dan adik sekiranya dia tiada sebarang urusan. Kak Farhani sangat baik hati dan banyak membantu kami sekeluarga. Ibu dan ayah menganggap kak Farhani seperti anak kandung mereka sendiri. Kak Farhani anak yatim piatu, ibu bapanya telah meninggal dunia di dalam satu kemalangan empat tahun lalu.
“Sebenarnya, Maya mahu buat kek Tiramisu ni untuk ibu sempena hari lahirnya tidak lama lagi,” jelasku sejujurnya.
“Ooooo….jadi tengah tengok resepi kek lah ni… Nak buat sendiri ke?,” tanya kak Farhani.
“Lebih kurang macam tu lah kak Hani”.
“Leceh lah kerjanya…. Apa kata beli saja di kedai,” Farhani memberi cadangan.
Aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Baik, kak Hani faham. Maya nak buat khas untuk ibu ya?”.
Aku menggangguk-anggukkan kepala.
“Bila tarikhnya tu?,” tanya Farhani lagi.
“5 May, tiga hari lagi,” jawabku.
Hari yang dinantikan tiba…..
“Maya, ibu pergi kerja dulu. Jangan lupa makan. Jaga Aisya elok-elok ya. Kalau ada apa-apa hal call ibu. Jangan susahkan kak Hani ya,” itulah ayat-ayat azimat setiap kali ibu hendak keluar.
“Okay Maya…. Jaga diri ya. Ayah pergi kerja dulu,” kata ayah sambil mengusap rambut ku. Setiap hari ibu dan ayah akan pergi kerja seawal enam pagi kerana tempat kerja mereka agak jauh dari rumah. Jadi aku dah terbiasa tinggal bersama adikku ditemani oleh kak Farhani.
Tarikh 5 May, jatuh pada hari Jumaat. Sebagaimana biasa aku akan mengambil Aisya di tadika Permata, tempat di mana kak Farhani bekerja. Dia adalah pemilik tadika itu. Kak Farhani telah berjanji untuk membawaku Membeli-belah di pasaraya. Aku mengeluarkan duit tabunganku berjumlah dua ratus lapan puluh Ringgit Malaysia. Aku tidak berapa pasti berapa harga bahan-bahan itu, jadi aku membawa semua duit tabungan itu.
Setiba di pasaraya…..
“ Okay… Sekarang Maya dah tulis semua bahan yang perlu dibeli,” kata aku kepada Kak Farhani. Kak Farhani mengambil kertas yang ada di genggamanku.
“ Jom… apa lagi,  kita mulakan misi kita…” kata Kak Farhani berbisik.
Kami mengambil barang-barang yang perlu dan dengan pantas kami membuat pembayaran. Aku bimbang aku kesuntukan masa untuk menyediakan kek itu.
Di rumah…..
Aku melihat jam di dinding. Waktu telah menunjukkan jam tiga petang.  Masih banyak masa lagi sebelum ibu dan ayah pulang. Aku telah bersedia untuk memulakan pertarungan. Kak Farhani duduk memerhatikan apa yang aku lakukan. Aisya juga tidak menggangguku. Dia hanya duduk di sisi kak Farhani. Setiap arahan di dalam resepi itu kuturuti satu per satu.
Aku menyediakan loyang yang telah digris dengan mentega dan taburan sedikit tepung. Oven kupanaskan dengan  suhu 170-180 darjah celsius. Aku mengayak tepung, serbuk koko, serbuk penaik dan soda bikarbonat dan kumasukkan ke dalam mangkuk. Secubit garam ku campurkan ke dalam adunan itu dan ku gaul rata.
Di dalam mangkuk yang lain, aku satukan gula, air nescafe panas, susu segar, dan esen, ku bancuh  hingga larut. Kemudian aku campurkan adunan ke dalam adunan tepung. Sedikit minyak  jagung ku masukkan ke dalam adunan dan dikacau. Setelah itu, bahan adunan kutapis. Aku memasukkan dua sudu kecil cuka ke dalam adunan dan ku kacau dengan menggunakan senduk kayu. Selepas itu, aku tuangkan adunan ke dalam loyang yang telah disediakan. Oven telah ku tetapkan dengan kadar 40 minit.
Sementara menunggu kek masak, aku mengemaskan semua peralatan dapur. Kak Farhani hendak membantu ku mengemas tetapi aku melarang kerana aku mahu melakukannya sendiri. Kak Farhani faham dan dia tersenyum kepada ku. Aku lihat Aisya tertidur di kerusi. Aku meminta kak Farhani mengangkat Aisya masuk ke dalam bilik. Selepas itu aku menyediakan bahan-bahan untuk krim Tiramisu. Keju dan gula ku masukkan ke dalam mixer dan dipukul sebati, kemudian aku masukkan whipping cream, diputar lagi hingga kembang dan gebu.
Selepas 40 minit berlalu, akhirnya kek pun masak dan kek ku biarkan sejuk seketika. Sebaik sahaja kek sejuk aku mula memotong kek kepada dua lapisan. Aku menyusun lapisan pertama ke dalam bekas bulat dan setiap lapisan ku siramkan dengan air nescafe di atasnya. Di setiap lapisan aku lapiskan dengan krim tiramisu yang telah kusediakan. Dan siramkan lagi dengan air nescafe. Proses itu berulang hingga habis dan diakhiri dengan  lapisan krim tiramisu di permukaannya. Kek itu ku sejukkan selama 3 jam lagi. Sekarang jam 4:30 petang. Aku menjangkakan bahawa ianya akan selesai pada pukul 7:30 petang nanti.
 “Kak Hani, rasanya semua dah selesai. Kena tunggu lagi tiga jam, nanti bolehlah ditaburkan serbuk koko dan dihiaskan dengan buah ceri tu,” jelasku. Kak Farhani tersenyum.

KEPULANGAN IBU DAN AYAH…….

“Assalamualaikum….. Sayang, ibu dah… eh, kenapa gelap-gelita rumah ni?” Ibu mencari-cari suis lampu.  Setelah suis diketik…..
“ SELAMAT HARI LAHIR IBU!!!!!!” jerit kami sambil menepuk-nepuk tangan menyanyikan lagu hari jadi. Ibu terkejut bukan kepalang.
‘ Ibu, potonglah kek Tiramisu dengan kasih sayang Maya untuk ibu,”
Ibu dan ayah saling berpandangan.
“Amboi…..cantiknya kek Tiramisu ni, sama macam dalam majalah tu,“ kata-kata ibu membuatkan hatiku berbunga bangga.
Kek dipotong dan satu suapan manja telah diberikan oleh ayah kepada ibu.
“Ermmm…..sedapnya… sayang. Terima kasih ya..” kata ibu lantas memelukku erat. Air matanya mengalir di pipi. Bibirku mengukir senyuman yang indah. Kak Farhani dan Aisya tersenyum. Hasratku untuk membuat kek tiramisu buat ibu akhirnya terlaksana. Hatiku berbunga bahagia.

P/S : Kalau ada comments, sila lah! Moga ianya dapat memperbaiki mutu penulisan Intan kelak....thanks!
TAMAT...

2 comments:

  1. terliur time baca cerpen..
    terbayang-bayang kek tiramisu di depan mata..hehe..:)

    ReplyDelete
  2. Jom lah kita makan Tiramisu...jom3....(di alam mimpilah nampaknya)hehehehe...
    -Intan-

    ReplyDelete